UMMAH, PPIM lancar Kempen Beli Produk Muslim di seluruh negara

Bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan umat Islam, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan Kempen Beli Produk Muslim di seluruh negara.

Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sokongan daripada umat Islam sangat penting kerana masih banyak lagi produk muslim yang berada di pinggiran bandar.

Beri Keutamaan Kepada Produk Orang Islam

“Kita bukan tolak produk orang lain. Tetapi kita nak beri keutamaan kepada produk orang Islam. Jangan fikir negatif kononnya asal Melayu sahaja tak bagus, asal Melayu sahaja tak baik.

“Mungkin ada sedikit kekurangan, dari segi pengedaran, kualiti, promosi. Namun akan dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Tidak Pernah Berlaku Golongan Majoriti Kalah Ekonomi

Haji Aminuddin berkata, dalam dunia ini tidak pernah berlaku golongan majoriti kalah ekonominya dengan golongan minoriti.

Justeru, telah sampai masanya untuk kita memberi sokongan kepada produk muslim sendiri.

Produk Muslim Banyak Di Pasaran Tetapi Kurang Sokongan

“Banyak produk muslim di pasaran, cuma yang kurang adalah sokongan daripada orang kita. Maka, kita berharap pelancaran kempen bersama PPIM hari ini, akan dapat digerakkan di seluruh Malaysia dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Beli Produk Muslim, yang berlangsung di Megaview Banquet Deck, Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Produk Muslim Diharapkan Akan Menjadi Ikon Kepada Malaysia

Selain itu, Haji Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menaruh harapan agar produk-produk muslim di negara ini suatu hari nanti akan menjadi ikon kepada Malaysia.

“Kita akan bina satu syarikat gergasi yang boleh disenaraikan di dalam Bursa Saham. Kita juga harap melalui kempen ini dapat memberi kesedaran kepada umat kita bahawa cukuplah untuk mengkayakan orang lain. Kita kena kayakan orang Islam pula.